Sunday 13 September 2015

Dalam menjalankan saringan... Jangan lupa..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.. 

Dalam kerancakan kita menjalankan saringan lisan dan membaca, ada beberapa perkara yang perlu kita titikberatkan. Bagi mencipta kelainan, perkara-perkara tersebut diselitkan dalam bentuk pantun.

Buah keranji buah berangan, 
Mari dimakan anak juragan, 
Dalam kita mentadbir saringan, 
Semua manual ada di tangan.

Singgah dulu di Kuala Pekan, 
Menjamah kari ikan siakap, 
Satu perkara usah lupakan, 
BPPI murid wajib lengkap. 

Berlajarlah anak bersungguh-sungguh, 
Masa depan mu tentu selamat, 
Jalankan saringan usah bertangguh, 
Masa yang tinggal hampir tamat. 

Kalau pergi ke Tanjung Tuan, 
Jangan lupa membawa tali,  
Saringan dijalankan ikut kemampuan, 
Usah disaring dua belas konstruk sekali.

Bermain bersama rakan dan taulan,
Permainan asal dari pekan,
Saringan boleh dibuat berkumpulan, 
Secara individu turut dibenarkan.

Si dara belajar jahitan jelujur, 
Disakat teruna di atas anjung, 
Saringan ditadbir telus dan jujur,
Barulah berkat amalan disanjung. 

Dengarlah teman nasihat berpuisi,
Buat pedoman minda nan bestari, 
Murid dibantu kuasai literasi numerasi, 
Agar hidupnya berjaya di kemudian hari.

Sekian dulu... Wasalam..  


Wednesday 2 September 2015

Saringan membaca dan lisan telah bermula.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.. 

Anda mesti sudah ketahui yang kini saringan membaca dan lisan kali ke 2 perlu dijalankan. Maka, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ketika anda menjalankan saringan kali ini.

1. Pastikan anda telah menerima manual dan instrumen membaca/lisan. Seadainya anda belum menerima manual dan instrumen tersebut, sila hubungi penyelaras LINUS2.0 sekolah anda atau Pegawai FasiLINUS daerah. Pastikan instrumen yang diterima adalah instrumen membaca atau lisan saringan 2 2015.

2. Baca dan fahami manual dan instrumen kerana manual akan membantu anda untuk memahami prosedur pentadbiran, kaedah pelaksanaan, kaedah pelaporan dan cara bagaimana saringan perlu dijalankan mengikut konstruk. Borang BPPI juga terdapat dalam manual.

3. Rancang bagaimana anda akan menjalankan saringan mengikut ketetapan berikut:

Masa: Ketika PdP subjek anda (* peringatan: PdP perlu dijalankan sepanjang tempoh saringan)

Tempat: Dalam kelas yang akan anda saring.

Tarikh: Pada hari-hari persekolahan dari 1-30 September 2015 bagi saringan lisan dan membaca
(jangan menjalankan saringan pada cuti hujung minggu, pelepasan am dan cuti persekolahan)

Mode: Individu atau kumpulan kecil (tidak melebihi 3 orang)

Pemeringkatan: Dari konstruk paling mudah (konstruk 1) ke konstruk paling sukar (konstruk 12)


4. Setelah anda membuat perancangan, jalankanlah saringan dengan berhemah, berkualiti, telus, dan penuh etika.

5. Dalam menjalankan saringan, ada beberapa tips yang berguna untuk anda:

a- Janganlah anda saring anak-anak murid anda kesemua konstruk sekali gus. Murid-murid pada usia
yang amat muda seperti anak-anak murid kita mempunyai daya tahan ingatan dan fokus yang kurang. Maka, saringlah mereka mengikut kemampuan mereka. Contohnya: 3 konstruk sehari.

b- Seandainya murid anda keliru atau tidak berjaya memberi respon yang dikehendaki (seperti skema jawapan dalam manual), bimbinglah mereka dengan bijak serta terangkan kepada mereka arahan bagi konstruk yang sedang disaring. (*AWAS: JGN BERI JAWAPAN KEPADA MURID)

c- Seandainya anda ingin menjalankan saringan dalam kumpulan kecil iaitu tidak melebihi 3 orang murid, pilihlah mereka yang sama kemampuannya. Hal ini adalah untuk mengelakkan murid mengikut atau meniru respon rakan mereka yang lebih bijak.

d- Jalankan saringan dalam suasana yang santai dan mesra. Elakkan dari mengunakan nada yang tinggi dan bahasa badan yang dingin.

e- Ketika saringan berlangsung, jangan lupa tiga dokumen ini MESTI ada bersama-sama anda dan
diletakkan bersebelahan instrumen iaitu:
1- Manual Am
2- Manual Pentadbiran Instrumen
3- BPPI murid yang disaring

f- Ketika menjalankan saringan, anda perlu prihatin kepada kehendak konstruk seperti penggunaan alat bantuan dan bahan maujud (kerana dalam saringan Numerasi ada konstruk-konstruk yang tidak dibenarkan penggunaan bahan maujud)

6. Setelah saringan dijalankan, sila pastikan borang BPPI anda diisi dengan lengkap. Mohon anda
sebagai pentaksir memberi perhatian kepada aspek-aspek dibawah:

- Adakah anda menggunakan borang BPPI yang sama dengan saringan 1?
- Adakah nama murid ditulis dengan lengkap dengan menggunakan dakwat pen kekal (biru/ hitam)?
- Adakah setiap konstruk yang disaring telah diisi skornya dengan lengkap dengan menggunakan pen
  kekal (biru/hitam)?
- Bagi Numerasi: adakah tarikh saringan setiap konstruk telah anda isi dengan menggunakan pen?

7. Sekiranya semua langkah telah diambil, maka anda telah berjaya menjalankan saringan membaca dengan baik. Tahniah! Namun jangan alpa dan leka kerana bermula 1 - 16 Oktober akan berlangsung saringan menulis pula. Pastikan anda mendapat instrumen saringan menulis yang mencukupi sebelum 1 Oktober nanti. Sehingga sebelum penandaan instrumen menulis bermula, jagalah BPPI murid-murid anda dengan baik.

Seandainya anda mempunyai sebarang kemusykilan, sila hubungi Pegawai FasiLINUS daerah anda. Kami sedia membantu.

Sekian, sambutlah salam celik literasi dan numerasi.