Tuesday 6 October 2015

Masa untuk saringan menulis! Jom saring!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..

Dah tiba masanya untuk kita (guru-guru LINUS2.0) untuk memulakan saringan menulis bagi saringan 2 tahun 2015. Adakah anda semua telah bersedia? Kalau anda sudah bersedia, kami pasti semua perkara asas yang perlu diuruskan sebelum saringan menulis telah pun anda lakukan. Ada yang masih tidak ingat perkara-perkara asas tersebut? Baiklah kami ingatkan anda. Sebelum saringan menulis dijalankan anda perlu:

1. Memastikan yang anda telah menerima instrumen menulis yang mencukupi untuk semua pelajar dari PPD.

2. Pastikan ada dokumen-dokumen penting seperti manual pentadbiran,dan BPPI murid berada bersama-sama anda. Bukan setakat ada sahaja, anda wajib baca dan fahami manual pentadbiran tersebut.

3. Pastikan saringan membaca atau lisan telah selesai dan skor saringan telah ditulis dengan lengkap dalam BPPI murid *sila guna dakwat pen kekal berwarna hitam atau biru.

4. Seandainya anda perlukan perancangan dalam menjalankan saringan menulis, rancanglah perjalanan saringan ini terlebih dahulu. Ingat cikgu, dalam saringan, PdP perlu berjalan seperti biasa ya..

Selepas semua aspek-aspek diatas telah anda uruskan dengan baik.. maka jalankanlah saringan menulis. Kalau anda ingin mengetahui cara pentadbiran saringan menulis, sila dapatkan maklumat mengenainya yang kami persembahkan dalam bentuk soal jawab dibawah:

Soalan: Bolehkah saya menyaring 12 konstruk sekali gus dalam saringan menulis?

Jawapan: Tidak boleh kerana ada murid yang tidak mampu menjalani saringan yang begitu padat dan seandainya disaring 12 konstruk sekali gus kami bimbang ada anak murid kita yang akan menjawab instrumen menulis dengan cuai.


Soalan: Bilakah masa paling sesuai untuk saya jalankan saringan menulis?

Jawapan: Dalam waktu PdP subjek berkenaan. Contohnya, saringan BI dijalankan sewaktu PdP BI.


Soalan: Boleh saya saring anak murid saya secara kelas ketika saringan menulis?

Jawapan: Boleh, anda digalakkan untuk menyaring mereka secara kelas.


Soalan: Kalau murid tak menulis tetapi memberi jawapan secara lisan, bolehkan diterima?

Jawapan: Hanya respon dalam bentuk tulisan sahaja diterima dalam saringan menulis.


Soalan: Bagaimanakah caranya untuk saya membantu murid dalam saringan menulis?

Jawapan: Pentaksir boleh memberi bantuan secara minimum dan menjelaskan arahan atau kehendak item di dalam instrumen jika diperlukan.


Soalan: Boleh saya mengulang mana-mana konstruk yang tidak dikuasai murid?

Jawapan: Anda tidak dibenarkan mengulang mana-mana konstruk yang tidak dikuasai murid dalam saringan menulis.


Soalan: Apakah panduan yang digunakan dalam menentukan ketepatan jawapan murid?

Jawapan: Pentaksir perlu merujuk kepada skema jawapan yang ditetapkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia yang boleh didapati di dalam Manual Pentadbiran Instrumen.


Soalan: Apakah langkah selepas pentadbiran instrumen?

Jawapan: Anda perlu memeriksa setiap item yang dijawab oleh murid. Dalam penandaan kertas gunakanlah pen merah berdakwat kekal. Kemudian, pindahkan skor secara telus ke BPPI murid. Selepas itu masukkan tahap penguasaan murid ke dalam portal NKRA.


Soalan: Perlukah saya simpan instrumen yang sudah ditanda?

Jawapan: Perlu. Instrumen murid yang telah ditanda perlu disimpan di tempat yang selamat dalam bangunan sekolah untuk tujuan rujukan.


Diharapkan semua dapat memahami perjalanan saringan menulis dengan lebih baik. Untuk pertanyaan lanjut, kemukakan soalan anda kepada kami (Pegawai FasiLINUS).

Selamat menjalankan saringan dengan telus dan sebaiknya.

Sampai bertemu lagi, sambutlah salam celik literasi dan numerasi dari kami.

Wasalam..

No comments:

Post a Comment