Sunday 11 January 2015

Selamat Kembali Ke Sekolah Anak-Anak Ku


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua..

Syukur dipanjat kepada Yang Esa kerana dengan keizinan-Nya, kita dapat lagi meneruskan titik-titik perjuangan dengan bermulanya sesi persekolahan bagi tahun 2015. Tidak terlambat kiranya bagi kami disini mengucapkan 'Selamat Kembali Ke Sekolah' kepada semua guru dan terutamanya kepada anak-anak murid yang kami kasihi dan sayangi. Bagaimana pengalaman anda di hari pertama kelmarin? Sudah tentu ianya penuh dengan kemanisan yang memeriahkan kenangan..

Bagi semua guru tahun 1, 2, dan 3 khususnya dan semua guru amnya, kami disini mengharapkan kalian semua dapat menjadikan permulaan sesi persekolahan ini sebagai sumbu untuk membakar obor semangat keguruan anda bagi bersama-sama kita mengangkat peratusan saringan LINUS2.0 anak-anak didik kita bagi tahun ini. Kami amat memahami tugasan yang digalas sebagai seorang guru itu bukan mudah. Justeru, kami semua bersedia membantu bagi menjadikan aspirasi sifar LINUS satu realiti. Hubungi kami seandainya anda memerlukan sebarang maklumat awal tentang pengoperasian LINUS2.0 di sekolah anda. Insyallah, post yang berikutnya akan memberi anda pencerahan tentang dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pengoperasian LINUS2.0 pada tahun ini.

Kepada semua anak didik permata negara, setinggi-tinggi gunung, tinggi lagi hasrat dan harapan kami, guru-guru, dan ibu bapa kalian untuk melihat anak-anak sekalian menempa kejayaan dalam segenap bidang terutamanya dalam keupayaan membaca, menulis, mengira, dan menaakul. Kami berdoa agar anak-anak semua berjaya di dunia dan akhirat sana. Ingatlah ilmu yang dihayati dan diamalkan akan menjadi penyuluh masa hadapan yang cerah.

Sekali lagi, kami semua Pegawai Fasilinus PPD Kota Setar mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua guru, dan anak-anak murid sekalian. Sehingga kita bertemu lagi, sambutlah salam celik literasi dan numerasi dari kami semua.

No comments:

Post a Comment